ARTIKEL DAKWAH

 

TUGAS PENUNTUT ILMU

AKHLAK PENUNTUT ILMU

10 PERKARA YANG MENJADI SIA-SIA

MATEMATIK DAN SOLAT

KAEDAH PENGAJARAN AL-QURAN MASA KINI

KAEDAH 'DATING' DALAM ISLAM

 

TUGAS PENUNTUT ILMU


Secara Umum, dapat digariskan empat tugas seorang penuntut ilmu:

1) Memperbetulkan niat
Perkara pertama yang perlu diambil perhatian oleh penuntu ilmu, ialah mempunyai keikhlasan niat demi untuk mencapai keredhaan Allah. Bukan untuk berbangga apabila digelarkan sebagai orang allim, atau tujuan mengumpulkan harta, pangkat atau yang seumpamanya.

Sabda Rasulullah SAW
Sesiapa yang mempelajari ilmu kerana Allah, tidak mempelajari ilmu kerana inginkan harta dunia, tidak akan dia temui kecuali Syurga hari akhirat kelak..-Riwayat oleh Abd. Razak-

Cuma perlu di ingat bahawa, jika harta, pangkat dan yang seumpamanya datang kepada seorang alim, maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menerima dan memanafaatkannya.

2)Berterusan dalam menuntut ilmu
Ilmu adalah lautan yang tidak mempunyai pantai dan tepian. Maka usaha menuntut dan menambahkan ilmu hendaklah berlaku secara berterusan, tidak didalangi oleh peringkat-peringkat ijazah tertentu.
Firman Allah SWT.
"Katakanlah (wahai muhammad) tambahkan aku ilmu"surah Toha ayat 114

3) Sabar
Penuntut ilmu hendaklah sentiasa sabar dalam menempuh dugaan dan cabaran yang merintangi perjalanannya di dalam menuntut ilmu sama ada yang bersiafat fizikal mahupun spritual.
Tidak perlulah diceritakan di sini sejarah para sahabat dan ulama yang menempuh segala cabaran demi untuk menuntut ilmu.

4) Memuliakan Guru
Sabda Rasulullah SAW
Bukan dari umatku orang yang tidak memuliakan orang tua dan mengasihi anak-anak muda kami dan tidak mempelajari daripada orang-orang alim-Riwayat Abu Daud-
Saya tidak bertujuan untuk menghuraikan hak seorang alim/guru ytang perlu ditunaikan oleh muridnya di dalam artikel ini cuma dicadangkan agar kita mengambil sedikit dari masakita untuk melihat kembali perkara ini, semoga segala ilmu yang kita tuntut mendapat keredhaan Allah SWT

AKHLAK PENUNTUT ILMU



1) Merasakan Tanggungjawab ilmu

Diriwayatkan Daripada Muaz bin Jabal die berkata Rasulullah SAW bersabda. Tidak akan mara seseorang hamba di hari Akhirat melainkan telah ditanya mengenai 4 perkara: Berkenaan Umurnya ke mana yang telah dia habiskan. Berkenaan dengan Waktu mudanya apa yang telah dia lakukan. Berkenaan dengan hartanya dari mana diperolehinya dan ke mana dia belanjakan. Dan berkenaan dengan ilmu apa yang telah perbuat dengannya.-Riwayat oleh Attabarani dengan isnad yang sohih-


2) Menjaga amanah ilmiah

Sabda Rasulullah SAW :
Berilah nasihat pada ilmu, Sesungguhnya khianat seseorang daripada kamu terhadap ilmu adalah lebih dahsyat daripada khianatnya terhadap hartanya, Dan sesungguhnya Allah akan bertanya kepada kamu pada hari kiamat - Riwayat Attabarani-

Di antara yang termasuk dalam daerah amanah ilmu adalah beberapa perkara berikut.
- Menasabkan atau menyandarkan pendapat dan fikrah (buah fikiran) kepada Tuannya.
- Menyampaikan ilmu yang diketahui, dan tidak malu untuk mengatakan"tidak tahu" jika dia tidak mengetahuinya.

3)Tawadduk

Para Ilmuan yang menyedari bahawa ilmu adalah lautan yang tidak bertepi tidak akan merasa sombong dan bangga dengan apa yang ada pada mereka. Bahkan selagi bertambah ilmu di dada, semakin bertambah sifat tawadduk.

Firman Allah SWT: "Tidak diberi kepada kamu ilmu kecuali sedikit sahaja"Surah al-Isra' ayat

4)Mulia diri (Al-Izzah)

Para ilmuan hendaklah merasa mulia diri tidak merendahkan diri apabila berhadapan dengan pemerintah, golongan bangsawan, golongan kaya-raya dan yang seumpamanya,

Firman Allah SWT: "kekuatan itu hanyalah kepada Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui"surah al-Munafikun ayat 8

"Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allahlah kemuliaan itu semuanya"
surah Fathiir ayat 10

5)Beramal dengan apa yang dipelajari

Firman Allah taala ; "Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu sendiri melupakan diri (kewajiban)mu sendiri padahal kamu mambaca Al-Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?"surah al-Baqarah ayat 44

6) Sentiasa berusaha untuk menyampaikan ilmu

Firman Allah taala: "Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab (iaitu):"Hendalah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia, dan janganlah kamu menyembunyikannya", lalu mereka melemparkan janji itu )ken belakang punggung mereka dan mereka menukarkannya dengan harga yang sedikit, Amatlah buruk tukaran mereka terima" surah Ali Imran ayat 187

 

10 PERKARA YANG MENJADI SIA-SIA

 

Sufyan ats-Tsauri, seorang ulama hadis yang terkemuka, menyatakan bahawa ada sepuluh hal yang termasuk dalam kategori sia-sia, iaitu:-

1.Lelaki atau wanita yang berdoa untuk dirinya sendiri, tapi tidak dimohonkannya doa untuk ibu-bapanya sendiri dan kaum Muslimin.

2.Orang yang kerapkali membaca Al Quran, tapi tidak membaca secara tertib .

3.Lelaki yang masuk ke dalam masjid, kemudian ia keluar kembali dari masjid itu tanpa mengerjakan shalat tahiyatul-masjid.

4.Orang yang melewati tanah perkuburan, tapi tidak mengucapkan salam kepada penghuni-penghuni kubur dan tidak mendoakan untuk keselamatan arwah-arwah mereka.

5.Lelakii yang masuk pada hari Jumaat ke suatu kota, kemudian ia keluar lagi dari kota itu tanpa mengerjakan shalat Jumaat berjemaah.

6.Lelaki atau wanita yang tinggal di suatu lingkungan dengan seorang ulama, tapi dia tidak mempergunakan kesempatan itu untuk menambah ilmu pengetahuan.

7.Dua orang laki-laki yang bersahabat, tapi mereka tidak saling menanyakan tentang keadaan masing-masing dan keluarganya.

8.Lelakii yang mengundang seseorang menjadi tetamunya, tapi tidak diacuhkan dan tidak dilayani tetamunya itu.

9.Pemuda yang menjadikan zaman mudanya berlalu begitu saja tanpa memanfaatkan waktu yang berharga itu untuk menuntut ilmu dan meningkatkan budi pekerti.

10.Orang yang tidak menyedari tetangganya yang merintih lantaran kelaparan, sedang ia sendiri makan kekenyangan di dalam rumahnya.

 

 

 

MATEMATIK DAN SOLAT

 

Dengan nama Allah yg Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Sabda Rasulullah SAW:
"Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27 kali darjat" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Secara matematiknya, kita lihat berikut:

Solat berjemaah :
1 waktu = lebih 27 kali pahala
1 hari = 5 waktu x 27 = lebih 135 kali pahala
Sebulan = 30 hari x 135 = lebih 4,050 kali pahala
Setahun = 12 bulan x 4,050 = lebih 48,600 kali pahala
10 tahun = 10 tahun x 48,600 = lebih 486,000 kali pahala

Solat sendirian :
1 waktu = 1 pahala
1 hari = 5 waktu x 1 = 5 pahala
Sebulan = 30 hari x 5 = 150 pahala
Setahun = 12 bulan x 150 = 1800 pahala
10 tahun = 10 tahun x 1800 = 18,000 pahala

Sama ada kita sedar atau tidak, bagi yang sembahyang sendirian di rumah selama 10 tahun, pahalanya hanya menyamai beberapa bulan solat berjemaah.
Andai kata pahala 486,000 itu dalam bentuk RM486,000 (atau 486,000 liter petrol) agaknya barulah ramai manusia mengejarnya. Ramai manusia inginkan syurga tapi tidak mencari ke arahnya; sebaliknya ramai manusia yang takutkan neraka tapi tidak menghindar diri dari terjerumus kepadanya. Wallahu'alam.

 

 

 

 

KAEDAH PENGAJARAN AL-QURAN MASA KINI

Oleh: Us. Shahrin Awaludin ( Fakulti Pendidikan UKM )

Pendekatan terbaik pengajaran al-Quran ialah TALAQQI dan MUSYAFAHAH iaitu berdepan secara langsung di antara guru dengan murid seperti mana yang berlaku antara malaikat Jibril dan Rasulullah saw ketika wahyu yang pertama diturunkan di gua Hira?. Pengajaran al-Quran juga perlu dilakukan dalam kumpulan kecil bagi memudahkan guru melakasanakan pendekatan talaqqi dan musyafahah di atas.

Kaedah utama pengajaran al-Quran di Malaysia dan seluruh dunia Islam amnya ialah menggunakan kaedah Baghdadiyah. Hanya sejak akhir-akhir ini sahaja muncul beberapa kaedah baru pengajaran al-Quran di Malaysia iaitu kaedah Qiraati, kaedah Iqra? dan kaedah Hattawiyah. Berikut ialah huraian ringkas kaedah-kaedah pengajaran al-Quran tersebut :

1.Kaedah Baghdadiyah

Kaedah ini merupakan kaedah yang paling lama dan meluas digunakan di seluruh dunia. Ia dipercayai berasal dari Baghdad, ibu kota Iraq dan diperkenalkan di Malaysia seiring dengan kedatangan Islam ke Tanah Melayu sejak berbad yang lalu. Kaedah Baghdadiyah menggunakan sebuah buku yang dinamakan Muqaddam yang menjadi bahan utama pengajaran asas tilawah al-Quran. Kaedah ini menekankan kepada  pengenalan huruf Hijaiyyah, baris dan ejaan.

2.Kaedah Qiraati

Kaedah Qiraati yang bermaksud Bacaanku   mula diperkenalkan pada tahun 1963 di Semarang, Indonesia oleh seorang guru al-Quran yang bernama Bapak Haji Dachlan Salim Zarkasyi. Pada mulanya terdiri dari sepuluh jilid buku untuk kanak-kanak berusia enam tahun ke atas. Kemudian dikemaskinikan menjadi lapan jilid, enam jilid dan akhirnya lima jilid. Kaedah ini bermula dengan memperkenalkan huruf Hijaiyyah hinggalah ke buku jilid lima untuk pelajaran yang lebih susah seperti bacaan huruf qalqalah dan sebagainya. Apabila selesai lima buah buku tersebut pelajar akan dilatih membaca juzuk ?Amma dan seterusnya al-Quran muhaf rasm Othmani.

3. Kaedah Iqra'

Kaedah Iqra' atau cara cepat belajar al-Quran Rasm Uthmani juga adalah berasal dari Indonesia iaitu mula diperkenalkan pada tahun 1984 di sebuah Taman Kanak-Kanak Al-Quran di Kota Gedo, Jogjakarta. Pengasas kaedah ini ialah Haji As'ad Humam yang telah menyusun enam jilid buku Iqra. Buku-buku Iqra? sepertimana juga buku Qiraati disusun untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran al-Quran dari peringkat pengenalan huruf Hijaiyyah hinggalah menguasai tilawah al-Quran dengan baik dan mengikut hukum tajwid. Kaedah ini mengutamakan bimbingan dan latih tubi. Oleh kerana itulah setiap orang guru hanya akan membimbing lima atau enam orang murid sahaja bagi satu sesi pengajaran yang mengambil masa selama enam puluh minit. Kaedah Iqra' telah diterima dan digunakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1994 bagi pengajaran dan pembelajaran al-Quran di sekolah.

4. Kaedah Hattawiyyah

Sementara kaedah Hattawiyyah pula adalah satu kaedah membaca al-Quran dengan berpandukan tulisan rumi. Kaedah ini diperkenalkan bagi membantu pelajar yang terlalu lemah dalam tulisan jawi. Oleh kerana itu syarat utama untuk mengajar atau menggunakan kaedah ini ialah pelajar tersebut benar-benar buta al-Quran dan pelajar tersebut boleh membaca rumi. Kaedah ini dianggap sebagai sementara, langkah terakhir dan hanya untuk golongan tertentu sahaja bagi mempastikan mereka tidak terus buta al-Quran

 

 

KAEDAH 'DATING' DALAM ISLAM

Hubungan sebagai pasangan kekasih dan hubungan pertunangan tidak sama dengan perkahwinan. Pertunangan tidak menghalalkan apa-apa hubungan. Ia sekadar perjanjian untuk mereka berkahwin sahaja. Ramai juga yang kurang faham konsep pertunangan ini atau buat-buat tak faham. Mereka melancong ke sana-sini berdua-duaan, menunaikan umrah bersama tanpa ditemani mahram dan sebagainya. Dating dengan makna dan gambaran yang wujud pada hari ini seperti berdua-duaan, berpegang tangan, menonton wayang bersama, si gadis membonceng motosikal tunangnya dan sebagainya adalah dating yang menyalahi hukum agama.

Tetapi Islam bukanlah agama jumud/beku. Ia membenarkan pertemuan yang baik dan harmoni dengan syarat-syarat tertentu. Antaranya :
1) Menjaga pandangan mata
2) Percakapan yang baik
2) Pakaian yang menutup aurat dan sopan
3) Tempat pertemuan yang tidak menimbulkan fitnah

Menjaga pandangan mata

1. Ketika berbual, pandangan mata hendaklah dijaga agar tidak memandang dengan nafsu syahwat. Pandangan mata adalah satu senjata sulit Iblis dan Syaitan bagi merosakkan anak Adam. Oleh kerana itu, Quran menyuruh lelaki dan wanita menundukkan pandangan. Firman Allah yang bermaksud :

“ Katakanlah kepada lelaki yang beriman agar mereka menahan pandangan mereka… dan katakanlah kepada wanita beriman agar mereka menahan pandangan mereka…” (Surah an-Nur :30-31).

2. Tidak melihat aurat orang lain atau berusaha melakukannya. Jika terpandang aurat, maka hendaklah cepat-cepat mengubah pandangan mata.


Percakapan yang baik

1. Suara yang lunak dan menggoda akan menarik antara satu sama lain ke arah melakukan maksiat. Oleh itu, dalam aspek bercakap, Islam membenarkan lelaki dan wanita berkomunikasi antara satu sama lain dengan syarat percakapan itu tidak menggoda. Quran menyebut syarat ini dalam wahyu yang bermaksud

“Maka janganlah kamu kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya dan berkatalah akan perkataan yang baik”. (Surah al-Ahzab : 32).

2. Tajuk perbualan hendaklah tajuk yang serius atau agak serius. Tidak wajar untuk berbicara tentang perkara-perkara lucah, tentang anggota seksual sendiri dan seumpamanya. Mungkin tidak wajar juga berbual perkara-perkara yang remeh-temeh seperti pertanyaan tentang mandi, makanan, masakan hari ini dan sebagainya.

3. Tidak mengandungi unsur-unsur mengumpat, menghina orang lain, mencerca dan sebagainya.

Ciri pakaian yang menutup aurat

1. Pakaian mestilah pakaian yang menutup aurat.

2. Aurat wanita ketika bertemu lelaki ajnabi (bukan mahram iaitu lelaki yang boleh menjadi suaminya) ialah seluruh tubuh kecuali muka dan pergelangan tangan. Pergelangan kaki juga dikira sebagai aurat. Ada sebahagian ulama berpendapat ia tidak aurat. Oleh itu adalah baik jika wanita memakai stoking. Pakaian yang elok dipakai adalah baju kurung dan tudung kepala.

3. Pakaian juga mestilah tidak nipis sehingga menampakkan kulit seseorang pemakainya.

4. Pakaian juga mestilah tidak ketat hingga menampakkan bentuk tubuh seseorang pemakainya. Kebiasaannya seluar jeans adalah seluar yang ketat. Baju kebaya juga biasanya dibuat daripada kain yang nipis dan ketat. Namun jika baju kebaya dibuat dengan kain yang tidak nipis dan tidak ketat, maka ia boleh dipakai.Ada sesetengan remaja wanita suka memakai seluar. Ini tidaklah menjadi kesalahan dalam agama selagi ia tidak nipis dan tidak ketat serta menutup aurat.

5.Tudung kepala hendaklah menutup rambut dan tengkuk/leher. Pemakaian skaf untuk tudung kepala adalah tidak sempurna kerana masih nampak leher. Tudung juga hendaklah labuh agar menutup bahagian depan dada wanita. Firman Allah yang bermaksud:

“dan hendaklah mereka menutup kain kerudung mereka ke dadanya” (Surah an-Nur :31).

Fesyen tudung seperti tudung labuh, tudung tiga segi, tudung ‘wardina', tudung bawal, tudung ‘mawi' dan sebagainya adalah baik selagi ia menutup aurat.

8. Fesyen pakaian hari ini seperti menampakkan pusat, ketat dan sebagainya adalah jelas haram.

9. Pakaian wanita tidaklah menyerupai pakaian lelaki dan pakaian lelaki tidaklah menyerupai pakaian wanita. Hadis menyebut bahawa Saidina Abu Hurairah berkata :


“Rasulullah melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Tiru ini termasuk dalam banyak aspek. Antaranya aspek pakaian. Islam bukan anti-fesyen bahkan Islam mengalu-alukan setiap fesyen yang baik. Islam anti-dedah aurat dalam berfesyen.


Tempat pertemuan

1. Jauhi tempat-tempat yang banyak hiburan, maksiat dan fitnah. Disko, bar, kelab malam (dalam pengertian sekarang) adalah tempat yang tidak wajar dikunjungi oleh setiap muslim.

2. Tempat yang sunyi dan jarang dikunjungi orang adalah tempat yang tidak sesuai untuk bertemu. Pertemuan di kelas-kelas yang terpencil pada waktu petang mesti dielakkan.

3. Alangkah elok jika tempat bertemu itu tempat yang terbuka seperti restoran, kedai makan, pejabat, bank dan sebagainya. Dalam hadis diceritakan bahawa seorang wanita Ansar datang kepada Nabi s.a.w. maka Nabi pun bersunyian dengan wanita tersebut. (Mafhum HR Bukhari).

Ada riwayat menyebut bahawa bersama wanita tersebut seorang budak lelaki. Maksud ‘bersunyian' dalam hadis bukan bermakna Nabi s.a.w. bersama dengan wanita itu di tempat tertutup. Maksudnya ialah Nabi bercakap dengan wanita tersebut di tempat yang jauh sedikit daripada orang lain sehingga mereka tidak mendengar perbualan Nabi, tetapi orang ramai masih melihat Nabi dan wanita Ansar tersebut.

Adat yang berlaku dewasa ini di mana seseorang bersama tunangnya ke sana-ke mari adalah adat yang bertentangan dengan Islam. Sabda Nabi s.a.w. :
“Tidak boleh bersunyi-sunyian seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan ada mahramnya”. (Mafhum HR Bukhari).

Tujuan Islam adalah bagi menjaga agama dan maruah diri agar terhindar daripada fitnah. Jika pantang larang ini tidak dipatuhi, akan berlaku fitnah dan keburukan seperti khalwat, berdua-duaan dan zina.


 

 

LAMAN UTAMA

 

 

Hakcipta © 2008 anuar2u.com / hubungi 019-7764359

PENAFIAN:
KAMI tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan
oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman web ini.